“Sekarang saya perlu menanggung hutang itu selama 75 tahun. Itu pun tak tahulah sama ada umur panjang atau tak. Masa tandatangan surat perjanjian itu pun, saya keliru memikirkan dalam usia ini saya menanggung hutang hampir sejuta ringgit,” kata Suraya.
Eksekutif swasta berusia 24 tahun itu bagaikan tiada masa depan apabila terpaksa menanggung hutang dibuat ibunya pada 2011, 167 kali ganda daripada jumlah pinjaman asal cuma RM6,000.
Katanya, ketika pinjaman berkenaan dibuat, dia masih bersekolah dan kehidupan mereka yang agak sukar selepas bapanya meninggal dunia mendorong ibunya membuat pinjaman dengan syarikat pinjaman wang berlesen dimiliki individu bergelar Datuk.
“Pada awalnya, emak menggunakan wang gajinya sebagai pekerja am syarikat swasta untuk membayar ansuran. Namun di tengah jalan, dia gagal membayar sehinggalah ditawarkan pinjaman demi pinjaman oleh Datuk terbabit.
“Sejak lima tahun lalu, saya bersedih kerana melihat bagaimana emak berkorban apa yang ada untuk sedaya upaya membayar pinjaman itu, tetapi dia tidak mampu sehinggalah kadar bunga meningkat.
“Bulan Mei lalu, saya mewakili adik beradik, bapa saudara dan seorang saudara angkat mengambil tanggungjawab membayar semua pinjaman berjumlah RM1 juta secara ansuran selama 75 tahun, walaupun saya tahu ia satu kerja mustahil,” katanya ketika ditemui di ibu pejabat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di Keramat Hujung, di sini, semalam.
Suraya hadir bersama ibunya selepas membaca laporan muka depan akhbar ini semalam mengenai kemewahan ceti haram yang hidup senang di atas kesusahan peminjam.
Katanya, sebelum ini dia tidak mengetahui kepada siapa dia boleh mengadu masalah itu sehingga membaca laporan itu dan terus menghubungi PPIM.
Ibunya, Salmah, 56, yang kelihatan sugul berkata, dia tiada jalan lain selain meminjam dengan Datuk berkenaan kerana mahu menyekolahkan tiga anaknya.
“Waktu itu, gaji pun tak seberapa, saya pinjam RM6,000 kemudian bila tak boleh bayar, kadar faedah naik. Datuk itu tawarkan pinjaman lagi, saya terima,” katanya.
Sementara itu Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan berkata, kes berkenaan menjadi satu bukti bagaimana along mengaut kekayaan dengan membuat perjanjian berat sebelah yang tidak masuk akal.
Katanya, mana mungkin untuk perjanjian pinjaman, tempoh bayaran ditetapkan selama 75 tahun dengan kadar yang berubah setiap masa.
Justeru, PPIM akan membawa kes ini ke Bukit Aman Isnin ini bagi membolehkan siasatan dilakukan bagi mengelakkan lebih ramai menjadi mangsa.