Demi tekad mempertahankan perniagaan yang diasaskan keluarganya sejak 1983, Hazizi Rashid tidak lokek untuk melabur hampir RM10 juta bagi memulakan syarikat R.Ulong Sdn. Bhd.
Menurut Hazizi, 38, biarpun perniagaan peralatan rumah berasaskan kekabu seperti tilam, bantal, selimut dan cadar itu dianggap tidak menguntungkan, beliau berjaya membuktikan sebaliknya.
Ini kerana sejak ditubuhkan pada 2007, syarikat itu berjaya mencatatkan keuntungan sehingga RM3 juta setahun dengan proses pengeluaran dibuat di kilang yang serba canggih di Kawasan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Kubang Menerong dekat Tasek Gelugor.
“Perniagaan ini adalah warisan keluarga yang bermula sejak 1983 di Pokok Tampang dekat Tasek Gelogor dan mampu bertahan lama sebelum saya mengorak langkah membuka syarikat R.Ulong Sdn. Bhd.
“Kini siapa sangka produk kekabu keluaran syarikat tempatan mampu memecah pasaran luar negara termasuk di Thailand, Indonesia, Vietnam dan Kemboja, selain 70 peratus pasaran tempatan,” katanya yang bertanggungjawab sebagai Pengarah Urusan syarikat berkenaan.
Dia ditemui selepas menerima Anugerah Usahawan Unggul pada Karnival Usahawan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) peringkat negeri di sini semalam.
Karnival itu dirasmikan oleh Pengerusi RISDA, Datuk Zahidi Zainul Abidin.
Tambah Hazizi, potensi produk kekabu amat tinggi terutama untuk pasaran tempatan menyebabkan dia terpaksa membawa masuk bahan mentah dari Indonesia kerana keluaran dalam negara tidak mencukupi memenuhi permintaan.
Katanya, pelanggan juga terpaksa mengeluarkan kos logistik yang tinggi sekiranya ingin membeli produk kekabu siap dari luar negara, sekali gus keluaran syarikatnya menjadi pilihan.
“Kami juga mampu mengeksport produk ke luar negara kerana syarikat ini satu-satunya kilang IKS yang mendapat pengecualian cukai duti import.
“Sekarang terdapat 20 outlet yang menjual produk kami di pasar raya besar seluruh negara, selain hampir 60 pemborong,” ujarnya.